Ahad, 19 Februari 2012

Tips: Panduan menghadapi ujian hidup

Kawan-kawan…

Bumi yang mana tidak ditimpa hujan, lautan yang mana tidak dilanda taufan. Setiap insan pasti diuji dengan pelbagai ujian.

Waktu diuji kita selalunya bersedih,kadangkala menangis sendirian kerana begitu beratnya ujian. Dunia terasa sempit menghimpit perasaan,kita mula hilang pertimbangan. Tidak semena-mena menunding jari kepada insan di sekeliling kita dengan pelbagai tuduhan.

Ketahuilah permata yang terbenam dalam lumpur takkan terhasil tanpa haba dan tekanan yang tinggi.Ia juga takkan bersinar bergemerlapan jika tidak dicanai,diasah dan digilap. Apakah kita ingin menjadi permata yang teguh bergemerlapan atau rela menjadi pasir yang hancur kerana tidak mampu bertahan?

Setiap ujian akan memantapkan keimanan bagi orang-orang yang tabah dan sabar, sebaliknya membawa kehancuran jika membiarkan diri hanyut tanpa pedoman. Berapa ramai orang yang tersungkur, terjerumus dalam keseronokan duniawi berlebih-lebihan dengan alasan cuba melupakan kepedihan?

Malah ada yang sanggup bertindak melampau dengan merentap jiwa mereka sendiri kerana ceteknya pertimbangan. Ingatlah pada Allah SWT, setiap jiwa itu amat berharga,tidak untuk dimusnahkan begitu sahaja.

Ingatlah kawan….

Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,Allah SWT tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Allah SWT yang mencipta kita, pastilah Allah SWT jua amat memahami kemampuan diri kita.Oleh itu, janganlah putus asa.




0 ulasan:

Catat Ulasan